Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

JASTRe tandatangani Sijil Penyerahan Projek CASA

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

1_JASTRe tandatangani Sijil Penyerahan Projek CASA.jpeg 2_JASTRe tandatangani Sijil Penyerahan Projek CASA.jpeg

MAJLIS Penandatanganan Sijil Penyerahan bagi Projek Clean Air for Sustainable ASEAN (CASA) yang disaksikan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, dan Duta (Ambassador Designate) Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam.

18 November 2024 – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan hari ini mengadakan Majlis Penandatanganan Sijil Penyerahan bagi Projek Clean Air for Sustainable ASEAN (CASA) di bawah ASEAN Working Group on Environmentally Sustainable Cities (AWGESC) untuk Negara Brunei Darussalam di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan sijil penyerahan tersebut ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Turut menyaksikan ialah bakal Duta (Ambassador Designate) Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah JASTRe, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit dan ucapan tahniah oleh Tuan Yang Terutama Sun Nahmkook.

Majlis diteruskan dengan penandatanganan sijil penyerahan di antara Pengarah JASTRe dan Ketua Penyelidik Projek CASA, Profesor Kiyoung Lee.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan ASEAN, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pembangunan, serta wakil-wakil daripada CASA Project Management Unit.

Projek Clean Air for Sustainable ASEAN (CASA) adalah salah satu usaha kerjasama di antara Republik Korea bersama Negara Anggota ASEAN (AMS) di bawah naungan Kumpulan Kerja ASEAN on Environmentally Sustainable Cities (AWGESC). Projek ini akan dilaksanakan bagi tempoh empat tahun iaitu 2023 hingga 2026.

3_JASTRe tandatangani Sijil Penyerahan Projek CASA.jpeg

PROJEK Clean Air for Sustainable ASEAN (CASA) di Negara Brunei Darussalam.

Negara Brunei Darussalam adalah di antara Negara Anggota ASEAN yang menyertai dan menerima sumbangan daripada Republik Korea iaitu dua peralatan pemantauan kualiti udara untuk ditempatkan di lokasi strategik di Negara Brunei Darussalam.

Projek ini bertujuan untuk memberi sokongan menyeluruh kepada Negara Anggota ASEAN bagi mengurangkan pencemaran udara dan kesan negatifnya melalui langkah-langkah politik, saintifik dan teknikal.

Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Attachments